Slipper Clutch : Apa kelebihannya?

Bagi mereka yang baru berjinak dalam dunia permotoran berkuasa tinggi, pasti ada terjumpa istilah slipper clutch dan tertanya-tanya apakah ia dan adakah berbaloi membayar harga sedikit mahal untuk memiliki versi motorsikal yang memggunakan sistem klac ini.









Apakah sebenarnya Slipper Clutch
Bagi mereka yang biasa membawa motorsikal mereka di hujung minggu untuk menikmati selekoh-selekoh di jalan Malaysia, pasti kerap menghadapi situasi dimana mereka perlu menurunkan gear secara mengejut untuk menghadapi selekoh  - yang mana menghasilkan lebih beban pada sistem tranmisi dan risiko daripada aplikasi brek enjin pada kelajuan yang tinggi. Untuk mengatasi isu ini, Slipper Clutch (Klac Gelincir) diperkenalkan. Slipper Clutch membantu dari segi mengurangkan kelajuan enjin dengan membenarkan klac untuk terpisah seketika / tergelincir (slip) daripada pemacu sementara kelajuan enjin menurun berpadanan dengan kelajuan motorsikal.

Dengan sistem klac biasa, daya yang terhasilkan daripada brek enjin dipindahkan ke roda belakang melalui rantai pemacu dan di bawah kondisi ekstrem, ia boleh menyebabkan roda belakang bergoncang, melompat dan seterusnya hilang kawalan.

Sebelum ini hanya motorsikal bersesaran tinggi yang memiliki sistem ini tetapi seiring dengan usia teknologi membuatkan sistem ini lebih mampu milik membuatkan ia mula diadaptasi pada motorsikal bersesaran serendah 250cc. Mungkin ada pemilik motorsikal berkuasa lebih tinggi yang mempertikaikan adakah sistem ini berbaloi untuk motorsikal berkuasa lebih rendah tetapi bagi mereka yang kerap menempuhi selekoh-selekoh pendek di Malaysia seperti di Berjaya Hills atau jalan Hulu Langat - Kuala Klawang pasti merasakan penambah baikan ini amat membantu dari segi prestasi dan keselamatan.

Kelebihan dan Kekurangan Slipper Clutch
Berikut adalah antara kelebihan sistem klac ini berbanding sistem klac biasa

  • Mengurangkan daya sentakan kuat pada sistem transmisi seterusnya mengurangkan kehausan dan memanjangkan hayat transmisi.
  • Meningkatkan prestasi semasa di selekoh dengan mengurangkan pembaziran masa pada saat roda belakang tergelincir akibat brek enjin yang kuat.
  • Menghindari roda belakang daripada terkunci.
  • Mengurangkan beban pada suspensi dengan menyerap daya daripada brek enjin, meningkatkan cengkaman pada permukaan jalan dan mengurangkan alunan suspensi (bumpy
  • Membantu penunggang untuk mengurangkan fokus pada pengawalan klac, membolehkan penunggang memberi lebih fokus kepada pembrekan, postur badan dan lain-lain semasa mengambil selekoh
Secara praktikalnya sistem ini tiada kekurangan tetapi secara teori berikut adalah sebahagian yang diambil kira
  • Sistem mekanikalnya lebih komplex, memerlukan pomen / mekanik yang mahir untuk membaiki atau melakukan penyelenggaraan.
  • Versi motorsikal yang mempunyai sistem Slipper Clutch kebiasaannya sedikit mahal berbanding versi yang tidak mempunyainya dan ini meliputi kos penyelenggaran yang pastinya juga lebih tinggi.
  • Disebabkan sistem ini hanya diberi perhatian semasa pengendalian lebih lasak, membuatkan ia dianggap sebagai suatu pembaziran untuk motorsikal yang kebiasaannya digunakan untuk kendalian harian ke tempat kerja.
Kawasaki Ninja 250R SE - antara motorsikal 250cc yang mempunyai sistem Assist Slipper Clutch
Buat masa ini tidak banyak terdapat motorsikal bersesaran 250cc di pasaran tempatan yang menggunakan sistem Slipper Clutch. Akan tetapi dengan kehadiran KTM Duke dan RC yang menawarkan varian 250cc pada saat varian 200cc masih terjual pastinya membuatkan bakal pembeli tertanya-tanya apakah berbaloi membayar lebih Rm3,000 untuk memiliki varian 250cc yang disamping sedikit penambahan pada prestasi enjin menawarkan Slipper Clutch dan ABS yang dirasakan tidak sepadan dengan statusnya sebagai motorsikal bersesaran rendah. 

Sekian sahaja, diharap perkongsian ini bakal membantu anda menyakinkan isteri untuk beri 'lampu hijau' berbelanja lebih bagi mendapatkan model motorsikal yang disertakan sistem klac ini. Selamat menunggang!

Comments

Trending