6 Jenama Helmet Motorsikal Terbaik

Image from http://www.motorcycle.com/


Motor dah powerrrr, tak kan nak pakai helmet kura-kura lagi kan?

Nak beli helmet baru, tak tahu nak pilih yang mana satu yang paling menepati cita rasa dan bajet. Nak survey dekat kedai pun tak ada masa.

Kalau itu dilema yang anda hadapi sekarang, ikuti entry kali ini untuk senarai 6 Jenama Helmet Motorsikal Terbaik!





Perlu dijelaskan dahulu, senarai jenama di bawah tidak mengikut urutan atas sebab semuanya menampilkan pilihan hebat yang terbaik mengikut kehendak dan keperluan anda. Apa yang pasti, anda akan berpuas hati bila memilih helmet daripada jenama-jenama berikut - walaupun mungkin sedikit mahal, tapi alah membeli, menang memakai!
*senarai model popular diperoleh dari status Best Seller dan mengambil kira customer review dari website Amazon.com

SHOEI




Jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi di kalangan rider di Malaysia. Dikenali sebagai pelopor inovasi dalam industri topi keledar motorsikal, Shoei Co. Ltd. merupakan antara pembuat helmet kelas High End Premium (diterjemahkan, terbaikkkk). Tidak menghairankan jika dikira pengalaman mereka selama 57 tahun dalam industri ini - Shoei telah ditubuhkan tanggal 17 Mac 1959 di Tokyo, Jepun.

Antara kejayaan Shoei ialah, berjaya menghasilkan helmet carbon fiber pada tahun 1976 dan mereka juga antara yang pertama menggunakan kevlar untuk pembuatan helmet; material yang sama digunakan untuk pembuatan baju kalis peluru.

Walaupun dengan saiz syarikat yang secara relatifnya kecil dengan tenaga kerja di bawah 500 orang, pembuatan helmet Shoei kekal antara yang terulung - keselamatan dan keselesaan yang ditawarkan menjadikan ia satu jenama yang mempunyai peminat setia dari seluruh dunia, antaranya Marc Marquez pelumba sensasi MotoGP.

Antara model popular : Shoei RF-1200



*Menurut survey, Shoei RF-1200 merupakan pilihan pertama penunggang motosikal seluruh dunia. Dengan shell yang ringan dan kukuh serta EPS liner (lapisan kusyen dalam) berbilang isipadu menjadikan ia antara helmet yang punyai binaan terbaik dalam kategorinya.




NOLAN




Nolan Helmet SpA. merupakan perusahaan topi keledar yang berasal dari Itali sejak tahun 1972 oleh Lander Nocci, seorang entrepreneur dalam sektor aksesori kereta dan motorsikal.

Seperti mesin-mesin lumba Itali, Aprilia dan Ducati; Nolan menawarkan helmet yang mempunyai standard yang tinggi. Bukan sahaja menepati dan melangkau standard DOT, helmet Nolan mempunyai aura premium dari segi rupa dan feels, semuanya dalam lingkungan harga yang munasabah - mungkin kerana mereka menghasilkan segala komponen sendiri tanpa perlu bergantung kepada pembekal dari luar.

Untuk yang belum tahu, Nolan juga merupakan pembuat helmet jenama X-Lite dan Grex yang mengfokuskan kepada penunggang baru dan berbajet rendah.

Nolan menjadi pilihan pelumba seperti Marco Melandri dan Casey Stoner, dan juga pelumba lagenda Itali Ricardo Tormo.

Antara model popular : Nolan N44






ARAI




Seperti Shoei, syarikat Arai Helmet Ltd. yang berasal dari Saitama, Jepun turut menawarkan sebilangan helmet motorsikal yang terbaik di dunia dan merupakan antara syarikat tertua dalam senarai ini. Ia ditubuhkan pada tahun 1926 oleh Hirotake Arai di mana pada permulaannya mereka hanya menghasilkan topi (seperti topi yang dipakai oleh ahli silap mata)

Seperkara yang menarik mengenai helmet Arai, ia dihasilkan dengan tangan - ya, hand built bak kata orang putih. Menariknya lagi, setiap helmet diuji berasingan dengan setiap peringkat berikut; selepas shell (kulit luar) helmet siap, selepas siap di cat dan akhir sekali selepas siap pemasangan. Dengan fokus kepada kualiti yang begitu tinggi, produk Arai telah dinobatkan sebagai juara bagi kepuasan pengguna oleh kajian yang dilakukan oleh J. D. Power and Associates Motorcycle Helmet Satisfaction Studies dengan 3/4 kategori dimenangi iaitu Overall Satisfaction, Ventilation dan Styling.

Selain menjadi pilihan penunggang motorsikal rakyat marhaen, helmet Arai turut menjadi pilihan pelumba terkenal seperti Dani Pedrosa dan Nicky Hayden. Jenama Arai ini juga popular di kalangan pelumba Formula 1 memandangkan helmet Arai GP-6 RC merupakan antara sebilangan kecil helmet yang menepati syarat ketat badan FIA untuk sukan permotoran tersebut.

Antara model popular : Arai Vector-2







HJC



Merupakan jenama nombor satu di USA sejak 1992 dan diiktiraf sebagai jenama topi keledar terlaris di dunia mulai 2002, HJC Helmets telah ditubuhkan di Korea pada tahun 1971 dan semenjak itu hanya mengfokuskan kepada penghasilan topi keledar. 

Selain faktor keselesaan, berkualiti tinggi dan ber-style, helmet HJC menawarkan harga mampu milik kepada pembeli (jika dibandingkan dengan pesaingnya seperti Shoei dan Arai), tambahan pula mereka turut menawarkan koleksi helmet dari taraf mid range hingga ke high end memberikan para rider perlbagai pilihan terutamanya bagi mereka yang mempunyai bajet ketat.

HJC mempunyai makmal ujian yang dilengkapi terowong angin bagi menguji feature seperti pengaliran udara, kadar kebisingan, aerodinamik dan sebagainya. HJC sehingga kini terus menambah baik R&D mereka bagi memastikan penunggangan yang lebih selamat.

Antara model popular : HJC CL-17, HJC RPHA-10





BELL


Bell Helmets mempunyai sejarah yang panjang. Bermula sebagai Bell Auto Parts di Bell, California pada tahun 1923 dan kemudiannya The Bell Helmet Company dibentuk pada tahun 1956 mengfokuskan kepada penghasilan topi keledar untuk perlumbaan kereta. Topi keledar motorsikal full face pertama di dunia diperkenalkan pada 1968 merupakan buah tangan daripada syarikat Bell ini!

Selain full face, Bell juga turut menghasilkan pelbagai jenis helmet yang lain seperti helmet separuh (lebih popularnya, steng), open face, off road dan lain-lain lagi.

Bukan sahaja design helmetnya cukup menarik, mereka juga tidak berkompromi dalam memberi keselesaan maksima dengan pengaliran udara yang cemerlang serta terasa ringan bila memakainya. Selain itu dengan teknologi ClickRelease oleh Bell memberikan pengalaman penggantian visor yang lebih cepat, memudahkan anda menukar visor mengikut kesesuaian dan kehendak.

Antara model popular : Bell Qualifier





AGV




AGV SpA. (Amisano Gino Valenza) merupakan firma pembuatan helmet motorsikal Itali yang ditubuhkan oleh Gino Amisano bermula tahun 1946, walaupun pada tahun awalnya mereka mengfokuskan kepada penghasilan tempat duduk kulit dan beg sisi sehinggalah pada tahun 1947 mereka mula menghasilkan topi keledar untuk tunggangan motorsikal.

Bagi peminat Valentino Rossi, tentunya akan perasan yang helmet AGV telah menjadi pilihan sepanjang kareer beliau di dalam perlumbaan motorsikal kelas dunia MotoGP. - Tidak hairan memandangkan kedua-duanya berasal dari Itali.

Walaupun dikelaskan sebagai pembuat helmet kelas Premium, harga yang ditawarkan agak rendah menjadikan helmet AGV terus menjadi pilihan pengguna motorsikal yang menginginkan gaya seperti pelumba kegemaran mereka tanpa perlu berbelanja besar.

Antara model popular : AGV K3


Comments

Trending