Modenas Pulsar NS200 vs Yamaha FZ150i : Shoot-out Streetbike Rakyat Marhaen


Adakah streetbike Modenas Pulsar NS200 yang baru dilancarkan pertengahan tahun ini benar-benar berbaloi untuk dibeli berbanding dengan Yamaha FZ150i? Maklumlah, Pulsar ni cuma rebadge daripada jenama Bajaj dari India - apa kelas motor Hindustan, bau kari (orang lain yang cakap, bukan saya)

Jika itu persoalan yang menghantui anda, jawapan versi TLDR ialah :

Ya, jika anda mahukan sebuah streetbike dengan bajet tidak melebihi RM10,000,  Modenas Pulsar NS200 memang motorsikal streetbike naked terbaik yang anda boleh dapatkan sekarang !

Apakah kelebihan yang ada pada streetbike sulung Modenas ini? Kita teruskan dengan perbandingan di bawah.

INTRO

Bagi mereka yang bekerja dan menetap sekitar bandar, motorsikal merupakan antara pilihan pengangkutan utama tidak kira lelaki atau wanita. Antara ciri-ciri utama yang dimahukan ialah kebolehan ditunggang untuk jarak jauh tanpa perlu kerap ke stesyen minyak dan juga cukup berkuasa untuk menempuh lebuh raya, dalam masa yang sama tidak membebankan dari segi kos pemilikan dan baik pulih - pendek kata, mampu milik untuk rakyat marhaen.

Puan Anita Yusof - Kembara sedunia dengan FZ150i

Oleh sebab itu dengan enjin bersesaran 150cc, tangki minyak berkapasiti 12 liter dan harga yang tidak jauh beza daripada sebuah kapchai; Yamaha FZ150i telah menjadi streetbike pilihan utama selama hampir 10 tahun (pelancaran pertama kali pada January 2008). Bukan tiada alternatif untuk streetbike daripada pengeluar motorsikal yang lain, cuma saingan yang ada seperti Honda CBR150 dan Demak Skyline 200 tidak cukup 'kuat' untuk mengganggu pasaran FZ150i; baik dari segi harga dan juga kualiti.

Variasi kepada FZ150i atau V-ixion di Indonesia

Berbekalkan status monopoli selama 10 tahun inilah, peminat streetbike bajet tempatan hanya disajikan Yamaha FZ150i yang hanya di-facelift satu kali (tukar warna dan stripe bukan facelift, ok?) sedangkan peminat di negara luar telah menerima update dalam bentuk V-ixion  Advance, M-Slaz (Xabre) dan terkini V-ixion R155 yang didatangkan dengan enjin 155cc SOHC berteknologi Variable Valve Actuation (sebut VTEC) - belum lagi dikira variasi versi berfairingnya, Yamaha R15 yang sampai sekarang tidak dibawa masuk secara rasmi untuk pasaran tempatan.

Dengan pengenalan Pulsar NS200 daripada Modenas, adakah monopoli FZ150i dapat dipecahkan? Untuk tujuan perbandingan ini kita akan lihat dari aspek-aspek penting seperti rekabentuk. keselesaan dan akhir sekali, KUASA.

REKABENTUK DAN GAYA

Perkara pertama yang perlu dinilai ialah rekabentuk sesebuah motorsikal. Tiada guna enjin berkuasa tetapi rekabentuknya bakal buatkan anda menjadi bahan gurauan rakan-rakan (bayangkan Suzuki Belang R150. Ok cukup). Untuk kategori ini kita bandingkan dari segi penampilan sisi, rekaan instrumen, ruang belakang dan pandangan hadapan.


Pandangan sisi

Dari bahagian sisi, Pulsar NS200 tampak padu dengan ruang enjin yang lebih padat - walaupun membawa spesikasi enjin silinder tunggal yang hampir sama dengan FZ150i. Memegang roda hadapan ialah fork teleskopik - bukannya upside down, namun penggunaan pelindung fork (fork condom) berwarna hitam menjadikan streetbike ini kelihatan lebih gagah.

Membuatkan Pulsar NS200 tampak gagah ialah penggunaan coverset atau fairing yang lebih lebar dengan lengkungan yang kelihatan ber'otot', sekaligus menaikkan imej maskulin. Tidak seperti FZ150i, Pulsar NS200 menggunakan tank cover daripada plastik - membolehkan ia dibentuk dengan lebih mudah untuk menambah baik kualiti kosmetik tanpa menjejaskan tangki itu sendiri yang dibuat daripada material keluli.

Panel meter

Pulsar NS200 dan FZ150i sama-sama menggunakan gabungan panel meter analog untuk tachometer (RPM) dan digital bagi speedometer/kelajuan, takat bahanapi serta odometer (jarak). Sayangnya kedua-dua streetbike ini tidak menampilkan penunjuk kedudukan gear, sedikit sukar bagi mereka yang masih berjinak-jinak dengan pengendalian motorsikal berklac manual namun panel meter Pulsar NS200 sekurang-kurangnya mempunyai lampu penunjuk penukaran gear yang akan menyala apabila penukaran gear diperlukan.

Panel suis

Unik pada Pulsar NS200, suis instrumentasi dilengkapi pencahayaan belakang - tidak diperlukan sangat untuk sebuah streetbike dengan teknologi ringkas tetapi fitur ini masih 'nice to have'.

Pandangan belakang

Beralih ke sudut belakang, rekaan plater holder merangkap rear fender FZ150i sangat kelihatan ketinggalan zaman - hatta jika dibandingkan dengan adik beradik kapchainya Yamaha Y15ZR. Tidak dinafikan pelindung belakang ini perlu, lebih-lebih lagi jika kerap membawa pembonceng; jadi walaupun Pulsar NS200 hanya mempunyai plate holder pada ekornya, penggunaan tire hugger membantu melindungi pembonceng daripada percikan lopak air.

Bagi mereka yang inginkan penampilan lebih ranggi, tire hugger Pulsar NS200 ini mudah ditanggalkan berbanding pembuangan rear fender FZ150i yang bakal melibatkan proses modifikasi tambahan jika tidak mahu diberi 'surat cinta' oleh pihak berkuasa.

Pandangan hadapan

Dari sudut hadapan, lampu utama Pulsar NS200 mempunyai rekaan cybernetik yang agak 'sibuk' tetapi bersesuai dengan karekter garis tubuhnya secara keseluruhan yang tampak gagah dari sisi ini dengan fairing sisi yang lebih 'berotot'. Manakala agak mengecewakan apabila melihat FZ150i masih didatangkan dengan design lampu utama yang kurang menarik (ala-ala Shin Chan menurut peminat motorsikal Indonesia) hingga menjadikan bahagian ini antara yang kerap dimodifikasi agar lebih sedap mata pemilik melihatnya.

Sedikit sukar untuk dilihat dalam gambar di atas, Pulsar NS200 turut didatangkan dengan crash bar yang terpasang di bahagian belakang radiator - fitur ini tampak remeh hinggalah motorsikal anda jatuh 'bodoh', barulah merasa bersyukur ada crash guard/bar.

Berbalik kepada lampu utama tadi, memandangkan Yamaha V-ixion Advance (versi update kepada New V-ixion atau FZ150i 2014) sudah lama dilancarkan di Indonesia dengan rekaan lampu utama yang lebih garang, rasanya wajar Hong Leong Yamaha perkenalkan facelift terbaru dan bukannya berharap kepada warna dan stripe 'limited edition' sahaja.

Rekaan lampu utama V-ixion Advance

Tidak seperti FZ150i yang mungkin 'memerlukan' anda untuk mengeluarkan sedikit kos bagi menjadikannya lebih 'cantik', gaya dan rekaan Pulsar NS200 hampir sempurna untuk sebuah streetbike berharga kurang RM10,000 bahkan menandingi streetbike naked 200-250cc lain yang lebih mahal. Boleh dikatakan jika anda hanya melihat rupa sebagai faktor utama pembelian, Pulsar NS200 pasti dengan mudah menawan hati anda.

KESELESAAN DAN KENDALIAN

Memandangkan kedua-dua streetbike ini merupakan sebuah naked bike, faktor keselesaan tidak perlu dirisaukan kerana kedua-duanya mengekalkan ergonomic sesebuah motorsikal untuk kegunaan dalam bandar; iaitu kedudukan handle yang tinggi dan kedudukan alas pemijak di tengah, tidak memerlukan penunggang untuk membongkok di samping mengelakkan rasa senak. Kualiti material pelana juga memuaskan, di samping permukaan pelana yang lebar memberikan support yang selesa.

Gambaran ergonomik NS200

Keselesaan pembonceng juga tidak menjadi kompromi walaupun Pulsar NS200 menggunakan pelana gaya split-seating disebabkan ketinggian pelana pembonceng yang tidak terlalu tinggi seperti sportbike lain.

Untuk pengendalian pula, Pulsar NS200 dilengkapi tayar yang sedikit lebar berukuran 100/80-17" di hadapan dan 130/70-17" di belakang; berbanding FZ150i dengan 90/80-17" untuk roda hadapan dan 120/70-17" pada roda belakang. Adakah tayar lebih lebar memberikan kelebihan ketara untuk Pulsar NS200 di selekoh? Tidak semestinya memandangkan tayar Pulsar NS200 mempunyai profil yang sama dengan FZ150i, jadi kelebaran extra yang ada hanya membantu kestabilan di garis lurus memandangkan enjin Pulsar NS200 lebih (sedikit) berkuasa.

Walau bagaimanapun, maklum balas daripada pemilik kedua-dua motorsikal ini mengatakan kualiti tayar asal dari kilang kurang memuaskan terutamanya pada permukaan basah dan di selekoh. Memandangkan negara kita terkenal dengan hujan dan panas sepanjang tahun, eloklah bertukar ke tayar yang berorientasikan cengkaman basah. Berdasarkan pengalaman saya sendiri, saya rekemen set tayar Corsa Sport Rain; cukup mencengkam tidak kira permukaan jalan kering atau basah.

Boleh didapati di Tyrenest Racing Shah Alam atau Acai Tayar Kota Damansara

Untuk kuasa hentian, Pulsar NS200 dilengkapi set kaliper brek ByBre (subsidiari Brembo) 2 omboh dan cakera 280mm di hadapan manakala 1 omboh dan cakera 230mm di belakang; berbanding kaliper Nissin 2 omboh dan cakera 260mm di hadapan, 1 omboh cakera 200mm di belakang. Walaupun cakera pada FZ150i sedikit kecil, ia masih mampu memberikan kuasa hentian yang mengcukupi. Bagi yang inginkan ABS, maaf belum ada lagi untuk streetbike pada harga ini.



Sistem gantungan kedua-dua streetbike ini menggunakan fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang, kelebihan di sini kepada Pulsar NS200 yang didatangkan dengan monoshock Nitrox boleh laras - mungkin untuk disesuaikan dengan keadaan jalan dan rakyat India yang berjuta di sana. Untuk FZ150i pula walaupun didatangkan dengan monoshock tetap, ia masih selesa ditunggang tanpa menjejaskan pengendalian di selekoh.

Monoshock Nitrox dengan Gas canister pada Pulsar NS200

Secara keseluruhan, faktor keselesaan dan pengendalian Pulsar NS200 dan FZ150i tidak mempunyai perbezaan yang ketara. Seperti mana-mana motorsikal yang didatangkan dengan enjin bersilinder tunggal, getaran mudah terasa di sekitar bar pemegang jadi untuk perjalanan jauh dinasihatkan untuk mengenakan glove dan relakskan genggaman handle.

KUASA DAN PENGGUNAAN BAHAN API
Segmen yang paling ditunggu. Tapi sebelum itu bagi mereka yang sangat ingin tahu berapa top speed Pulsar NS200 ini boleh tonton video di bawah.


Bagaimana, 151kmj cukup laju bagi anda? Tetapi jangan terlalu excited sangat, kerana top speed sebenarnya mengikut ukuran GPS cuma sekitar 125 ke 135kmj sahaja. Di atas kertas, Pulsar NS200 membawa spesifikasi enjin empat lejang sejukan cecair satu silinder 199.5cc, camshaft tunggal (SOHC) dengan 4 valve serta tiga palam pencucuh dan juga sistem fuel injection (Pulsar NS200 2016 pernah didatangkan dengan sistem karburetor, cuma di India) - dengan janaan kuasa kuda 24.5 PS pada 9,750 RPM dan torque maksima 18.6 Nm pada 8,000 RPM.

Sebagai perbandingan, varian Yamaha FZ150i terkini cuma dilengkapi enjin empat lejang bersistem fuel injection, satu silinder 149.8cc, camshaft tunggal (SOHC) dengan 4 valve dan satu palam pencucuh - hanya berupaya menjana 16.6 PS pada 8,5000 RPM dan torque maksima 14.5 Nm pada 7,500 RPM. 

Mengambil kira berat setiap motorsikal ini, iaitu sekitar 150kg pada Pulsar NS200 dan 120kg pada FZ150i membawa kepada nisbah 19.6 HP/120kg untuk Pulsar NS200 - keluaran kuasa yang hampir sama dengan FZ150i yang sudah dimodifikasi dengan blok enjin 62mm, racing cam, ECU dll. Sekiranya anda pemilik FZ150i sedia ada, mungkin kurang berbaloi untuk upgrade kepada Pulsar NS200 memandangkan kos modifikasi motorsikal sedia ada lebih murah - namun perlu diambil kira juga faktor ketahanan enjin setelah modifikasi dilakukan.

Tugas menyalurkan kuasa ke roda belakang pula diserahkan kepada transmisi constant mesh berklac basah, dengan perbezaan utama ialah pada nisbah gear di mana Pulsar NS200 mempunyai 6 kelajuan berbanding 5 kelajuan pada FZ150i. Oleh sedemikian, Pulsar NS200 lebih selesa mengekalkan kelajuan lebih tinggi terutamanya di lebuh raya.


Sesuai sebagai motorsikal yang direka untuk tunggangan harian, tidak lengkap hanya menyentuh bab kuasa sahaja tanpa mengambil kira tahap penjimatan bahan api. Memandangkan Pulsar NS200 turut menggunakan sistem SOHC, ia tetap bertenaga untuk dikerah pada kelajuan rendah di samping teknologi tiga palam pencucuh DTS-i memberikan pembakaran optimum setiap masa untuk prestasi enjin yang lebih efisyen. Jadi, jangan terkejut jika diberitahu penggunaan bahan api pada NS200 masih menjimatkan dan hampir menyamai penggunaan bahan api FZ150i yang bersesaran 50cc lebih rendah; sekitar 35km per liter atau 420km bagi setiap tangki penuh 13 liter dengan kelajuan malar sekitar 110kmj. Jika jarak ulang alik dari rumah anda ke pejabat sekitar 300km, anda hanya perlu lakukan isian penuh bahanapi seminggu sekali untuk kedua-dua Pulsar NS200 dan FZ150i.

Secara keseluruhan, kedua-dua Pulsar NS200 dan FZ150i mengekalkan ciri-ciri sebuah streetbike di mana kuasa difokuskan kepada mid range untuk memudahkan tunggangan dalam bandar di samping memberikan penggunaan bahan api yang minima. Kelebihan sedikit kepada Pulsar NS200 apabila meluncur di lebuh raya, mampu cruising dengan halaju yang lebih tinggi.

Bonus Info : Teknologi 3 palam pencucuh Bajaj DTS-i


Menyentuh sedikit kepada teknologi tiga palam pencucuh, DTS-i (Digital Twin Spark Ignition) yang dipatenkan oleh Bajaj ini bukanlah semata-mata untuk tingkatkan prestasi enjin secara kasar (brute force) hingga anda mahu risaukan enjin tembus akibat api yang terlalu kuat. Apa yang DTS-i ini lakukan ialah tiga palam pencucuh dikawal secara digital melalui ECU untuk menentukan pemasaan pembakaran bergantung kepada situasi yang sesuai, dengan mengambil kira kelajuan dan suhu enjin serta faktor-faktor lain yang mungkin tidak diterangkan lebih jelas.

Adakah penggunaan tiga palam pencucuh ini benar-benar lagi bagus daripada palam pencucuh tunggal seperti yang biasa terdapat pada motorsikal lain, contohnya KTM Duke 200 yang turut dikeluarkan oleh Bajaj? Tidak semestinya.

Penggunaan lebih daripada satu palam pencucuh oleh sistem DTS-i ini adalah untuk menutup kelemahan pada sistem SOHC di mana palam pencucuh tidak boleh diletakkan pada top dead center, iaitu kedudukan paling tengah dan teratas pada sesebuah enjin pembakaran (combustion engine) berikutan ruang tersebut telah digunakan untuk komponen yang tidak kurang penting iaitu camshaft. Tidak seperti enjin DOHC yang mempunyai dua camshaft, satu camshaft untuk setiap injap masukan dan ekzos, enjin SOHC yang menggunakan camshaft tunggal memerlukan camshaft untuk berada di tengah-tengah supaya dapat mengawal injap masukan dan ekzos pada masa yang sama.


Boleh dikatakan teknologi DTS-i yang dipatenkan Bajaj ini hanya memberikan kelebihan berbanding enjin SOHC biasa namun masih kekurangan jika dibanding dengan palam pencucuh tunggal pada enjin DOHC (mengambil kira kos palam pencucuh extra dan kebarangkalian risiko untuk palam-palam pencucuh tidak synchronized). Untuk gambaran visual mengenai teknologi ini, sila tonton video rasmi daripada Bajaj di bawah.



KATA AKHIR

Berdasarkan 3 faktor yang telah diambil kira, jelas bahawa Modenas Pulsar NS200 merupakan pilihan terbaik buat masa ini untuk mereka yang sedang mencari streetbike yang sesuai untuk tunggangan harian mereka. Mungkin faktor jenama Bajaj dan Modenas sendiri agak asing untuk diterima tetapi saya yakin ramai peminat motorsikal di luar sana yang sudah mampu membuat penilaian berilmiah. 

Buat masa sekarang, Modenas Pulsar NS200 ditawarkan dengan harga di atas jalan RM9,222 manakala Yamaha FZ150i RM9,156 - tidak jauh beza harganya. Cuma berita kurang enak bagi yang mahukan Pulsar NS200, anda perlu menunggu lama memandangkan streetbike ini laku macam pisang goreng panas!

p/s: Tengok Pulsar NS200 yang sudah dimodifikasi seperti Kawasaki Z1000. Memang meleleh...


Ulasan

  1. Salam tuan Zamir, apa pendapat tuan tentang harga maintanance Modenas Pulsar NS200 berbanding FZ150i, adakah ianya lebih tggi seperti jentera 250cc yg mungkin 2x ganda kos drpd FZ150i? dan pendapat tuan tentang kemudahan utk memperoleh alat ganti NS200 di masa akan dtg.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wsalam. Kemungkinan besar sedikit tinggi daripada maintenance FZ tapi tak akan semahal jentera 250cc yang lain (compare dengan 250cc yang berenjin twin parrallel).

      Kalau diikutkan sambutan hangat dan kerjasama Modenas dan Bajaj, alat ganti tak sepatutnya menjadi masalah. Pihak Modenas sekarang ni pun aktif dapatkan maklum balas pengguna Pulsar dan V15 jadi boleh expect lebih banyak alat ganti dan aksesori akan datang dalam masa terdekat.

      Padam
  2. Assalamualaikum tuan..
    Saya tengah berhajat dengan Ns200 ni stelah kira2 penggunaan kereta pergi balik kerja n kerap balik kampung jarak 200km kos minyak tol n lain2 agak tinggi jika banding kalau saya beli motor myb kos tu dpat dikurangkan... Masalah nye sy ni reti tunggang motor tapi xde motor n sy xtau sangat bab2 motor ni.. Ni baru nak belajar.. Mintak pandangan tuan berkenaan

    1.pinjaman ansuran motor.. Mana yg tuan lebih prefer utk sy ambil kalau nak beli motor? Wlpun beli cash tu jalan yg terbaik.. Hehe.. Apa kan daya.. Rakyat marhaen.. Hehe

    2.dari segi maintenance.. Kos lebih murah ke atau sama je mcm kereta?

    Terima kasih

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam...

      1. Bergantung kepada kemampuan. Bagi saya mana-mana pun ok. Cuma kalau untuk loan, seeloknya dalam tempoh masa singkat seperti 2 atau 3 tahun.

      2. Lebih murah. Maintenance seperti tukar minyak engine dan oil filter tidak jauh beza dengan motor kapchai. Biasanya kos maintenance ni terasa mahal kalau motor 250-500cc ke atas.

      Padam
  3. Deviasi speedometer tidak jauh jika kita bandingkan dgn motor2 jepang..

    151 on speedo pulsar 200ns..pada gps mungkin 148-149..

    #nakedwolvesindonesia

    BalasPadam

Catat Ulasan

Trending