Naza N5 vs Yamaha FZ150i : Pertempuran mesin 250cc vs 150cc mampu milik

Dengan harga sekitar Rm9000 ke Rm11k, adakah Naza N5 bakal menjadi pencabar ketat kepada Yamaha FZ150i? Ikuti entri kali ini di mana penulis membandingkan motorsikal underdog keluaran Naza ini dengan FZ150i yang cukup sinonim di kalangan rakyat Malaysia.



Intro
Bagi mereka yang bekerja di ibukota, menjadi suatu kemestian bagi kita (ya, termasuk penulis sekali) memilih untuk tinggal di kawasan yang sedikit jauh dari tempat kerja atas faktor kos perumahan. Mengambil kira kos pengangkutan pula, ramai yang memilih untuk menjadikan motorsikal sebagai pengangkutan utama dan sejak sekian lama Yamaha FZ150i telah menjadi pilihan bagi mereka yang mahukan motorsikal yang mampu pergi lebih jauh tanpa kerap ke stesyen minyak, cukup laju untuk menempuh lebuh raya dan dalam masa yang sama hemat penggunaan bahan bakar, dan yang penting sekali - berharga sekitar RM10,000 dan kebawah. 

Naza N5 pertama kali diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2014 dengan harga sekitar RM13,000 membuatkan ia bersaing hebat bukan sahaja dengan abangnya sendiri Naza Blade yang dijanakan oleh mesin V-Twin ala Ducati bahkan dengan Z250SL dan Duke 200 daripada Kawasaki dan KTM, kedua-duanya merupakan nama yang telah mendapat pengiktirafan daripada penggemar mesin dua roda. Mungkin disebabkan faktor jualan yang tidak rancak, pada tahun 2016 ini Naza N5 sudah boleh didapati pada harga bermula RM9000 membuatkan ia menjadi topik perbualan di kalangan pemilik dan bakal pemilik Yamaha FZ150i - motorsikal 250cc pada harga 150cc, memang tak senang duduk!

Untuk membantu mereka yang masih dalam dilema memilih antara dua motorsikal ini, langsung ikuti segmen seterusnya.



Prestasi
Tanpa perlu dihurai, N5 dengan enjin bersesaran 250cc pasti memiliki prestasi enjin yang agak lebih daripada FZ150i yang bersesaran 150cc. 

Nadi 1 silinder yang menjanakan 28hp pada 9500RPM dan torque 24Nm pada 7000RPM, N5 jauh di hadapan bila dibanding dengan nadi 1 silinder FZ150i yang hanya menjana 16hp pada 8500RPM dan 14.5Nm torque pada 7500RPM. Kelajuan maksima? Mengikut GPS, N5 berjaya mencecah sekitar 140 atau 150kmj manakala 120-130kmj bagi FZ150i. Tidak jauh perbezaanya tetapi dengan kuasa kuda yang lebih besar, Naza N5 boleh santai pada halaju kebangsaan dan dengan torque (pikap) yang lebih tinggi memudahkan proses pemotongan dan membantu untuk pecut bila lampu trafik bertukar hijau.

Pemenang : Naza N5

Keselesaan
Hampir sama - tetapi Naza N5 menyediakan pemijak kaki boleh laras!

N5 dan FZ150i memliki ketinggian pelana yang sama, 790mm yang mana boleh dikatakan sesuai untuk rata-rata penunggang di Malaysia - tidak menghairankan kerana N5 berasal dari Korea. (Naza N5 adalah rebadge kepada Hyosung GD250N). Bagi mereka yang turut mementingkan keselesaan ketika berdua, pelana utama bagi kedua-dua motorsikal ini menyediakan cukup ruang kepada penunggang untuk bergerak dan walaupun mengamalkan gaya pelana terpisah (split seat), Naza N5 menyediakan pelana pembonceng yang agak selesa jika dibandingkan dengan pesaingnya dalam kelas yang sama, Kawasaki Z250SL. Naza N5 juga menyediakan bar pegangang yang besar dan selesa untuk pembonceng manakala FZ150i (model 2014 ke atas) hanya menyediakan sedikit ruangan di bawah pelindung (cover set) belakang. Dengan kedudukan pemijak kaki yang lebih tinggi dan turut boleh dilaras oleh pemilik, tanpa was-was Naza N5 menang dalam segi ini bila dibandingkan dengan Yamaha FZ150i yang menyediakan pemijak yang lebih rendah membuatkan ia mudah bergesel dengan permukaan jalan jika penunggangnya cuba melakukan corner ala-ala Valentino Rossi setiap kali tiba di selekoh.

Pemenang : Naza N5

Praktikaliti
Untuk yang sedia korbankan sedikit gaya untuk sedikit kemudahan, Yamaha FZ150i kekal unggul.

Material tangki daripada besi mebolehkan penggunaan beg tangki bermagnet, kotak sisi (side box) yang telah sedia ada di pasaran serta tongkat berkembar (double stand) yang memudahkan penyelenggaran sendiri - FZ150i tidak nampak kekok sebagai adventurer. Jika dibandingkan dengan Naza N5 yang menggunakan tank condom plastik dan gaya yang lebih kepada street fighter membuatkan ia bukan pilihan kepada mereka yang perlu membawa lebih muatan. Boleh sahaja untuk menggunakan tali untuk mengikat barang ke atas tangki N5 atau modifikasi bagi mengikat kerangka untuk kota sisi tapi ia bakal mencacatkan estetika N5. Tanpa double stand juga membuatkan pemilik perlu menggunakan paddock stand untuk penyelenggaran sendiri seterusnya menyukarkan parkir dalam ruangan yang sempit.

Pemenang : Yamaha FZ150i

Gaya
Naza N5 bagi mereka yang mahukan perhatian daripada gadis-gadis di pejabat (dan di lampu trafik, warung nasi lemak dan lain-lain)

Tak perlu ditokok tambah, Naza N5 kelihatan lebih garang dengan gaya streetfighter - tayar belakang lebar, suspensi hadapan jenis terbalik (upside-down/USD fork), suspensi belakang di sisi ala-ala motorsikal bersesaran lebih tinggi (Kawasaki ER6), peredam bunyi dan manifold di bawah (seperti Duke 200), pelana belakang terpisah, panel meter digital penuh dan keseluruhan gaya dari hadapan ke belakang yang tampak tajam - tak perlu dipertikai, bukan gadis-gadis sahaja sangkut malah bakal mencuri tumpuan daripada golongan lelaki terutama penggemar motorsikal. 

FZ150i? Hmmm... dah biasa sangat nampak :) Cuma berita baik bagi penggemar FZ150i, kini disediakan pilihan warna biru dan penutup enjin berwarna emas sempena naik taraf rupa bermula hujung tahun 2015 yang lepas.

gambar hiasan dicuri dari arenapermotoran.com
Pemenang : Naza N5

Reliabiliti
Dengan jenama yang kukuh dan menjadi pilihan rakyat Malaysia sekian lama, pilihlah Yamaha FZ150i tanpa rasa was-was.

Terbalik dari segmen Gaya tadi, di sini FZ150i dengan mudahnya mengungguli segmen ini. Dengan kualiti pemasangan dan material Yamaha yang berkualiti hasil penglibatan dalam bidang permotoran sekian lama dan bahan ganti yang mudah didapati di pasaran - bakal pengguna FZ150i boleh menarik nafas lega. Bukan ingin dikatakan Naza N5 mudah rosak dan alat ganti sukar didapati, cuma disebabkan tidak ramai penggunanya dan juga faktor sejarah masalah Naza Blade yang terdahulu (cerita zaman Blade mula-mula masuk pasaran Malaysia), penulis sarankan bagi mereka yang berminat untuk memiliki Naza N5 supaya mendapatkan maklum balas daripada pengguna jenama Naza sendiri melalui forum-forum atau ruangan group di Facebook. Bagi penulis, kalau kita pandai jaga mesin ni dan ambil berat penyelenggaraan, pakailah jenama apa pun tiada masalah.

Pemenang : Yamaha FZ150i

Harga dan kos pemilikan
Dengan penyelenggaran dan kos pemilikan ala-ala kapchai - FZ150i pilihan mereka yang betul-betul pentingkan penjimatan.

Untuk segmen ini, penulis cuba senaraikan kos dalam bentuk anggaran kerana nilai boleh berubah-ubah ikut pasaran.

Pemilikan awal: 
Harga atas jalan termasuk insurans dan cukai jalan 
FZ150i - RM8000 ke RM9500++ 
N5 - RM9800 ke RM11000++ (RM9800 untuk belian tunai)

Insurans + Cukai jalan setahun
FZ150i sekitar RM200++
N5 sekitar RM500++

Penyelenggaraan biasa
Penapis minyak enjin : FZ150i RM10++ | N5 RM30++
Minyak enjin : FZ150i, 1liter (RM30-50)  x 1 | N5, 1 liter (RM30-50) x 2
Tayar (depan belakang) : FZ150i RM400++ | N5 RM700++

Boleh dikatakan, pemilik Naza N5 perlu menanggung dua kali ganda kos penjagaan daripada FZ150i manakala bagi pemilik FZ150i kos yang ditanggung hanya sedikit tinggi berbanding kapchai.
*sekali lagi diingatkan, harga di atas cuma anggaran kasar. ada kedai murah, ada kedai mahal. kalau murah, servis ok, boleh share kat ruangan komen ye

Pemenang : Yamaha FZ150i

Kesimpulan
Daripada perbandingan di atas, jelas antara Naza N5 dan Yamaha FZ150i mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing dan tidak dapat disimpulkan yang mana satu motorsikal yang mampu memenuhi kehendak pembaca sekalian. Dengan harga mula yang hampir sama, Naza N5 pasti membuatkan bakal pembeli terpikat tetapi dari segi jangka masa panjang dengan kos penjagaan yang lebih tinggi mungkin membuatkan bakal pembeli lebih berkira-kira. Apa-apa pun tepuk poket tanya budget, kuasa membeli di tangan anda (atau bini anda) - ZY


*update 20/4/2016
Untuk pemilik N5 batch awal (tangki model V1), boleh semak semula tangki minyak anda untuk proses replacement di Naza Service Centre Seksyen 15 Shah Alam. Boleh rujuk gambar dalam link ni.
-kredit kepada group Kelab Naza N5 Malaysa





Comments

  1. nice comparison .. tuan, sudah ada ke penggunaan N5 yang complaint tentang N5? masih sukar di goole lagi lah..

    ReplyDelete
  2. Tq tuan atas feedback.

    Pasal complaint ni, tuan boleh search group N5 malaysia tapi kena join dulu la sebab group ni closed. So far, tiada masalah yg boleh dikatakan serius. Setakat defect sikit2 biasa la mana2 motor pun mesti ada batch yang cacat punya.

    ReplyDelete
  3. sekian lama saya perhatikan motor ni.. akhir nya motor saya akan tiba sabtu ni.. lama saya tunggu.. harap tiada masalah besar pada motor tu nanti..

    ReplyDelete
    Replies
    1. saya beli N5 bro.. tapi malang nya naza telah bagi saya model 2014.. telah menyebabkan tangki saya bocor dan absorber depan bocor juga.. tapi model 2015 /2016 semua dah ok.. sampai hati dorang buat macam tu. .sekarang N5 saya masih menunggu organ gantian. sedih... saya rasa kena tukar minyak fork depan supaya absorber depan lebut sikit..

      Delete
    2. Alamak... sadis dengarnya. Beli direct dari dealer Naza ke bro?

      Delete
    3. Saya beli dari tropicana.. huhu
      harap selepas tukar tangki minyak dan seal absorber depan, tak akan ada masalah lain lagi.. performance n5 memang bagus.. pickup terkuat dalam 250cc kot.. tapi top kurang sikit sbb satu silinder jer. berat saya 95kg, top dapat dalam 150~155kmh jer.

      Delete
  4. Salam Tuan,

    Mohon tuan review motosikal Benelli TNT 25 yang baru. Mungkin tuan boleh bandingkan dengan Kawasaki Z250SL dan Naza N5.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wsalam... Terima kasih atas cadangan tuan, saya akan masukkan dalam perancangan. Facebook page untuk blog ni dah ada so kalau tuan ada kelapangan boleh Like untuk follow up date akan datang :)

      Delete
  5. saya mmg berminat nak angkat FZ ni.. tapi sy nak buat loan company saya dalam masa 8 tahun. bulanan adalah dalam rm 120 sebulan. sebab mmg dalam budget sy lagi la tuh.. sebelom ni sy naik ktm komuter+lrt, dan mmg bulan2 sy kena topup tng rm200 sebulan.. agak2 berbaloi tak kalau sy angkat motor fz dan hutang 8 tahun seperti yg dinyatakan di atas.. mohon pendapat abam2 otai sekalian.. owh.. lagi satu. .berat badan sy dalam 104kg dan jarak perjalanan sy ulang alik opis lebih kurang 70-80km sehari.. berbaloi tak untuk motor fz ni.. tq.. :-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rm120 x 96 bulan = RM11520. Ok lah tu, saing-saing dengan loan Aeon yang 2-3 tahun punya kalau kira dari segi total payment. Baik betul kompeni tuan..hehe.

      Kalau bajet tak banyak (termasuk maintenance sekali) dan keperluan untuk ke tempat kerja jarak jauh, memang FZ je lah pilihan yang ada. Cuma kena sabar je la kalau kena acah2 dengan Y15ZR atau Honda RS150R..haha.

      Delete
    2. better brother ni ambik n5 jer.. tapi make sure keluaran 2015/2016.

      Delete
    3. kalau kompeni baik hati boleh la try mintak loan lebih sikit..haha.

      Delete
  6. Saya pun sedang dlm perancangan samada nak ambik N5 atau pun FZ. Pilihan utama N5..tp baru2 ni dengar cerita N5 dah stop pengeluaran. Terus Fz sekarang top the list.

    ReplyDelete
  7. Boleh bandingkan demak skyline gt250 dengan fz 150i tak?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kita banding secara atas kertas dulu , ok?

      Demak Skyline GT250
      Maximum Power 12kW(16hp) /7500rpm
      Maximum Torque 17N.m /6500rpm
      Kerb weight 145kg
      6 speed

      FZ150i 2016
      Maximum Power 12.2kW (16.36hp) /8,500rpm
      Maximum Torque 14.5N.m /7,500rpm
      Kerb weight 129kg
      5 speed

      Kalau ikut anggaran specs sahaja, karekteristik kuasa untuk dua-dua motor ni tak jauh berbeza walaupun Skyline ada 100cc lebih tinggi dari FZ. Jangan kecewa pula bila dah guna Skyline 250cc tapi tak boleh kejar motor 250cc yang lain sebab output enjin 12kw/16hp memang yang terendah dalam kelasnya. Untuk tunggangan dalam bandar mungkin Skyline rasa lagi berkuasa daripada FZ atas faktor torque yang lebih tinggi atau mungkin tidak disebabkan penggunaan gearing yang lebih pendek perlu menukar gear dengan lebih kerap.

      Satu kelebihan utama Skyline GT250 ni, penampilan. Tak dinafikan design Skyline nampak lagi gagah daripada FZ tanpa perlu sebarang ubah suaian kosmetik. Kalau ada awek cuba tanya dia berkenan yang mana satu :)

      Delete
  8. Nak tanya performance dan kualiti Blade 650gtr.. cadang nak angkat sebijik.. tapi klu untuk penggunaan jangka masa lama ok tak? sebab tengok harga pasaran jauh lebih rendah berbanding brand moto yg lain untuk cc yg camtu

    ReplyDelete
    Replies
    1. blade boleh pakai tapi konfirm mesti ada rectifier problem. ntah apahal pn tak tau la. bleh masuk rectifier virago tapi wiring akan ada masalah sikit, panas n hangus. klu ada modal amik er6 je bro. kurang masalah.

      Delete
  9. Bro.. Buat preview naza n5r.. Nak tahu n5r bole saing dgn model ape..

    ReplyDelete
  10. Helo admin..saya sedang mencari motor.fikir2 berminat sangat dgn fz150i ni. Tp mengikut pnglaman org yg da guna moto ni. Kelajuan sgt mengecewakan dgn cc nya..fz keluaran baru 2016 lebih laju dari fz sblum ni?? Adakah cerita itu benar??. Tolong respon. Tq

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jangan risau.... kebanyakan motor 150cc 4 stroke memang top speed dalam 120-130kmj je. Bezanya, berapa cepat motor boleh sampai top speed tu.

      Yup, model 2014 ke atas memang lagi power dari model sebelumnya tapi top speed sama shj, beza pada pikap. So kalau dah ada pikap lebih, pandai2 owner sendiri utk setting spoket bagi ke top speed pula.

      Kesimpulannya kalau nak laju, jangan tengok motor 4 stroke 150cc. Sama ada 2 stroke 150cc atau 4 stroke 250cc. (KTM 200cc pun laju juga, tapi lepas modified buang cut off baru nampak dia punya pergi - keras jugak la modal dia)

      Delete
  11. Berkenaan Yamaha FZ150i 2016 dan Yamaha FZ150i v2 mempunyai perbezaan horse power walaupun saiz engine adalah sama disebabkan Yamaha FZ150i 2016 menggunakan sistem fuel injection IPA 1 brbanding sistem lama iaitu 3CI dan juga sistem TPI yang menggantikan sistem CDI pada model lama.. Dengan teknologi pada component baru ini Fz150i 2016 boleh mendapat horse power lebih tinggi dari generasi sebelumnya..tq

    ReplyDelete
    Replies
    1. kirenye fz150i v2 version 2016 ke bwh la yg enjin cover silver, ramai kata enjing gold lebih baik

      Delete
  12. Berkenaan Yamaha FZ150i 2016 dan Yamaha FZ150i v2 mempunyai perbezaan horse power walaupun saiz engine adalah sama disebabkan Yamaha FZ150i 2016 menggunakan sistem fuel injection IPA 1 brbanding sistem lama iaitu 3CI dan juga sistem TPI yang menggantikan sistem CDI pada model lama.. Dengan teknologi pada component baru ini Fz150i 2016 boleh mendapat horse power lebih tinggi dari generasi sebelumnya..tq

    ReplyDelete
  13. tak sabar nak tgk moto naza n5 monstar minggu depan. harap takde problem. tapi model 2014 rasanya.itu je kot yg tinggal. terpaksa la standby tukar tank tak pun fork . huhuu

    ReplyDelete
    Replies
    1. afiq dah dpt ke motor? share lah apa pengalaman

      Delete
  14. assalamualaikum bro, tumpang tanya berbaloi tak kalau nak angkt fz150i fuel injection deposit 680, bulanan 380x36bulan area shah alam ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam...
      Rasanya macam standard harga shah alam tu.... dalam Rm9400?
      Kira ok la tu, dah memang interest rate tinggi bila loan. Kalau rajin boleh cuba search kat Mudah.my, area Klang ada yang jual dalam Rm8000 juga so dapat la monthly rendah lagi.


      Delete
  15. FZ sy dah cecah 12000km..mohon suggestion apa yg perlu ditukar selain dlm manual dan brand apa yang bagus utk bahan2 servis..

    ReplyDelete
  16. Saya telah meneliti secara mendalam FZ150i dan N5.
    Dan telah membuat keputusan untuk membeli FZ150i.
    Saya berbuat demikian krn pada saya FZ150i lebih lebih berbaloi untuk dimiliki. Saya tidak mahu dirundung malang dan kerugian wang ringgit nak baiki itu dan ini N5 tu.

    Baru je beli FZ150i
    Feb 2017
    Bayar muka RM1,590
    Loan AEON 5 tahun
    Bulanan RM218
    Banting Selangor

    ReplyDelete
    Replies
    1. FZ memang berbaloi untuk jangka panjang sebab maintenance rendah, sesuai buat pergi kerja tak perlu pening kepala fikir nak repair. Kalau yang betul2 nak laju, nak murah memang N5 je la jawapannya. Sebab ada orang yang jenis nak laju, nak murah tapi dia pilih FZ. Bila dah pakai lain cerita pula, kata nak upgred sebab FZ tak cukup laju asyik kena potong dengan LC je..haha

      Delete
    2. Dari segi cc 135 LC dan cc 150 FZ, kenapa FZ selalu kena potong dengan LC?

      Delete
    3. Kalau compare atas kertas, FZ lagi power dari LC. Lc135 11 Hp, Fz150 14 Hp.

      Beza atas jalan pula, rider LC dan rider FZ kebanyakannya daripada golongan yang berbeza. Rider LC biasanya orang muda, minat nak beradu top speed manakala rider FZ banyak rider matang dari umur pertengahan 20-30an yang lebih suka ride santai. Bila dua jenis ni bertembung atas jalan, memang banyak la nampak FZ kena potong dengan LC. Cuba compare dua2 motor ni dalam keadaan standard tapi rider dari golongan da n bentuk badan yang sama, tercicir juga LC tu.

      Delete
    4. Sy pengguna fz 2014. Xnafi LC kekdg laju jgk atas hghway. Tpi ada cara dia atas hghway ni. Jgn biar dia 'amik' angin moto kita. Hahaha.

      Delete
    5. LC135 memang kalah dengan FZ 2014, sebab dah ada peningkatan performance dengan FZ generasi kedua (up 2HP dari generasi 1). Saingan terbaru Y15ZR & RS150R pula. Kalau tengok kat sidemirror dah tak nampak rider (tengah tunduk potong angin), jangan la saja2 try... kecewa la nanti. haha.

      Delete
  17. Tuan tlg compare sekali motor n5 dgn demak gt250..tq

    ReplyDelete
  18. Assalam.. nak tanya spec Naza N5R boleh? spec dia mcm N5 juga ke? Kalau Naza N5R dan Yamaha R25 perbandingan pula bagaimana?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wsalam... Spec engine sama, beza handling n design sahaja sebab N5R selain dari full fairing, handle depan guna clip on yang lagi rendah.

      Dengan R25 of course ada beza, N5 single cylinder compared dengan twin parallel pada R25. R25 mungkin lagi selesa atas sebab kurang gegaran dari enjin dua silinder dan kedudukan handlebar yang lebih selesa.

      Delete

Post a Comment

Trending