MAKSUD DI SEBALIK 2T SERTA 1001 TRIVIA MENGENAI MOTORSIKAL 2 LEJANG


Pernahkah anda tertanya-tanya, kenapa motorsikal 2 lejang asyik kena topup minyak 2T dan kenapakah ia dipanggil 2T... adakah sebab ia berbau tutti frutti??

1. T dibelakang 2T merujuk kepada Takt Time. Asal istilah Takt Time daripada German iaitu Taktzeit, merujuk kepada berapa banyak kerja dilakukan dalam satu masa yang dalam kes ini dua lejang dalam satu kitaran kuasa enjin. Membawa maksud yang hampir sama juga dengan Stroke cuma istilah takt time lebih tepat dalam konteks ini.



2. Enjin 2 lejang yang wujud sekarang asalnya direka oleh seorang pereka dari England, Joseph Day pada tahun 1889; 13 tahun selepas rekaan enjin 4 lejang oleh Nikolaus Otto, pereka berbangsa German. Mungkin sebab ini juga singkatan bahasa German seperti 4T dan seterusnya 2T digunakan secara meluas tidak kira bahasa dan negara.

Joseph Day, pelopor enjin 2 lejang

3. Disebabkan rekaan enjin 4 lejang menggunakan valve telah dipatenkan oleh Nikolaus Otto, Joseph Day cuba mereka enjin 2 lejang tanpa valve,dipanggil Valveless Two-Stroke Engine. Namun ia bukanlah tanpa valve sepenuhnya disebabkan bahagian inlet port-nya menggunakan flap valve.

4. Rekaan tanpa valve sebenar menggunakan sistem piston ported (yang masih digunakan hari ini) merupakan hasil modifikasi Frederick Cock, seorang workmen di syarikat kepunyaan Joseph Day. Hasilnya, rekaan enjin 2 lejang menjadi begitu ringkas dengan hanya palam pencucuh satu-satunya komponen yang dikekalkan pada bahagian head.



5. Rekaan enjin 2 lejang yang ringkas membuatkan ia tidak menggunakan sistem pelinciran wet sump seperti enjin 4 lejang, yang mana terdapat takungan minyak hitam di bawah crankcase. Sebaliknya menggunakan sistem total lose di mana minyak pelincir (minyak 2T) dicampurkan sekali dengan petrol sebelum dibakar semasa lejang kuasa, menghasilkan wap yang melincirkan crankshaft, rod dan dinding silinder.

6. Disebabkan sistem pelinciran yang membakar pelincir bersama bahan api inilah punca kenapa anda perlu kerap 'top-up' minyak 2T, berbanding pengguna 4 lejang yang hanya tukar minyak pelincir enjin mereka selang 3 bulan sekali. 



7. Asap tebal daripada pembakaran enjin 2 lejang memberikan peluang kepada pengeluar pelincir menambah wangian kepada minyak 2T supaya lebih mesra 'dihidu', dan juga asbab untuk menjual minyak yang lebih mahal. Antara minyak 2T yang wangi untuk pasaran tempatan adalah daripada jenama Shell VSX dan Hi Rev. Kebiasaannya yang wangi berwarna hijau berbanding minyak 2T biasa yang berwarna merah. Namun begitu, kehadiran minyak 2T yang wangi di pasaran semakin berkurangan berikutan penghasilan motorsikal 2 lejang sudah dihentikan.



8. Hampir semua motorsikal 2 lejang turut menggunakan sistem transmisi klac basah seperti motorsikal 4 lejang, oleh sebab itu jangan pelik kalau tengok pemilik motor 2 lejang sumbat minyak 4T dalam enjin mereka. Minyak 4T itu hanya digunakan sebagai pelincir transmisi jadi interval penggantiannya lebih lama sehingga boleh mencecah setahun sekali, berbanding pada motorsikal 4 lejang yang perlu penggantian minyak 4T lebih kerap.



9. Bunyi ekzos motorsikal 2 lejang lebih bingit daripada motorsikal 4 lejang disebabkan pembakaran enjinnya (pada lejang kuasa) berlaku pada setiap putaran enjin. Untuk pemahaman mudah bagi setiap 3,000 RPM (putaran enjin per minit), enjin 2 lejang melakukan pembakaran 3,000 kali semasa lejang kuasa berbanding 1,500 oleh motorsikal 4 lejang disebabkan pembakaran (lejang kuasa) hanya berlaku pada setiap 2 putaran enjin.


10. Lejang kuasa yang berlaku pada setiap putaran enjin juga merupakan sebab kenapa motorsikal 2 lejang mempunyai kuasa yang setanding dengan motorsikal 4 lejang yang bersesaran dua kali lebih besar. Sebagai contoh Kawasaki RR150, mesin 2 lejang 150cc mempunyai kuasa 24 HP, hampir sama dengan kuasa yang dihasilkan oleh Kawasaki Ninja 250R, mesin 4 lejang 250cc yang berkuasa 25 HP. Namun RR150 mempunyai kelebihan nisbah kuasa kepada berat yang lebih tinggi memandangkan ia hanya seberat 134kg, berbanding 170kg untuk Ninja 250R.



11. Ekzos motorsikal 2 lejang mempunyai bahagian membonjol yang dinamakan expansion chamber untuk meningkatkan prestasi enjin pada tahap RPM tertentu. Paip yang panjang, dengan expansion chamber yang besar dan stinger (resonator chamber) yang halus memberikan kuasa pada RPM tinggi jika ditala dengan rapi, penting bagi mereka yang pentingkan top speed.


Sistem ekzos Honda NSR500


bersambung...




BACA: PANDUAN RINGKAS DAN PADU - 7 JENIS ENJIN MOTORSIKAL MODEN






Comments

Trending