SUZUKI FXR 150 - DEFINISI RARE SEBENAR!


RARE.

Salah satu istilah yang kerap disalah guna dan DIAMBIL KESEMPATAN dalam arena permotoran tanah air.

Bagaimana motorsikal lama yang masih kerap kelihatan atas jalan raya boleh di-'mark up' harga jualannya sehingga berkali ganda; hampir menyamai harga sebuah sportbike moden. Tambah pelik, motorsikal 'tua' ini turut digilai oleh rider-rider muda dengan alasan "motor ni RARE".

Apa yang RARE dan unik bagi mereka, admin tak tahu.

Tapi apa yang admin tahu, motor yang admin bakal kongsikan ini secara relatifnya adalah RARE antara yang RARE.


TEKNOLOGI MELAMPAUI ZAMAN


Mungkin apabila ditanya apakah motorsikal 4 lejang pertama yang didatangkan dengan enjin bersesaran 150cc untuk pasaran tempatan, pasti ramai yang akan jawab Yamaha FZ150i. Tidak menghairankan, motorsikal ini dilancarkan tanggal Januari 2008 dan sehingga kini masih banyak kelihatan kelibatnya menerajui lebih raya setiap pagi dan petang.

Walaupun hampir 10 tahun dilancarkan dan sudah memasuki generasi kedua, peningkatannya hanya minimal. Tambahan 2 kuasa kuda iaitu 16hp berbanding 14hp untuk generasi 2013 dan sebelumnya, serta fitur yang patut ada untuk motorsikal orang muda seperti meter separa digital, brek cakera depan belakang dan penampilan yang lebih ranggi melalui fairing tangki dan saiz tayar yang lebih lebar.

Pasti ramai tidak menyangka fitur-fitur ini sebenarnya telah wujud malah lebih canggih pada motorsikal 150cc 4 lejang yang telah dilancarkan khas untuk pasaran Malaysia 20 TAHUN YANG LAMPAU.

YA. Suzuki melalui Lion Suzuki Motor Sdn Bhd pernah melancarkan sebuah motorsikal sport 4 lejang dengan nadi 150cc khas untuk pasaran Malaysia, bukan diimport CBU mahupun CKD pada tahun 1997. Zaman di mana Nokia 3310, Windows XP dan mungkin anda juga pembaca yang muda masih belum wujud.

Suzuki FXR150.

Membawa nama SUZUKI FXR150, mesin 150cc 4 lejang bersilinder tunggal kelahiran Suzuki Malaysia ini pasti buatkan ramai bakal menyangka ia sebuah sportbike moden jika admin hanya senaraikan spesifikasinya sahaja. Nak tahu kenapa? Lihatlah sendiri senarai spesifikasinya di bawah.

Mesin : 4 Lejang, Silinder Tunggal, DOHC 4 Valve
Teknologi Utama : SACS (Suzuki Advanced Cooling System), TWIRL (Twin Swirl Combustion Chamber)

Bore x Stroke : 62 x 48.8 mm

Kapasiti Silinder :  147 cc

Nisbah Mampatan : 10.7:1

Sistem Bahan api : Karburator Mikuni BS29

Transmisi : 6-Kelajuan, Constant-Mesh

Starter : Elektrik & Kick Starter

Meter : Fully digital

Max Power : 20 HP (14.9 KW) @ 10,000 Rpm

Max Torque : 12.5 N.m (1.27 Kgf-m) @ 8,100 Rpm

Top Speed : 150 – 160 Km/h

Kapasiti Bahan api : 15 Liter

Frame : Aluminium Twinspar Frame

Suspensi Depan : 38mm Telescopic Fork, Oil Damped

Suspensi Belakang : Monoshock Adjustable, Aluminium “Banana-Style” SwingArm

Brek Hadapan : Cakera. Disc 275 mm, Kaliper 2 Piston Hidraulik

Brek Belakang : Cakera. Disc 220 mm, Kaliper 2 Piston Hidraulik


Nah. Selain sistem bahan api yang menggunakan karburator, spesifikasi di atas cukup sesuai untuk motorsikal yang dikeluarkan pada tahun 2017; hampir menyamai spesifikasi Suzuki GSX-R150 yang hanya baru-baru ini dilancarkan pada penghujung tahun 2016 di Indonesia.

Mungkin ada yang pembaca yang masih belum jelas dengan hanya melihat spesikasi ini.

Sebagai perbandingan berikut adalah senarai HP motorsikal 150cc ke bawah, 2 Lejang dan 4 Lejang yang popular di Malaysia buat masa sekarang.

Dalam konfigurasi standard:
Yamaha Y15ZR, 4 Stroke 150cc SOHC - 15.15 HP
Honda RS150R, 4 Stroke 150cc DOHC - 15.63 HP
Yamaha FZ150i (2nd gen), 4 Stroke 150cc SOHC - 16.5 HP
Yamaha 125z, 2 Stroke 125cc - 17.26 HP
Yamaha RXZ, 2 Stroke 135cc - 21.21 HP

Tidak boleh disangkal, untuk sebuah motorsikal mampu mencapai 20 HP dengan berbekalkan nadi 4 lejang 150cc memang boleh dikira sebagai melangkaui zaman! Bahkan sehingga sekarang, masih belum ada motorsikal dengan konfigurasi serupa yang mampu menandingi Suzuki FXR150 dipasarkan di negara kita (abaikan Indonesia, sportbike 150cc di sana belum tentu lagi masuk Malaysia)

FALSE START

Dengan teknologi dan kelebihan seperti DOHC, SACS dan TWIRL yang membantu memacu FXR150 kuasa maksimum 20 hp; sesuatu yang unik bagi motorsikal 4 lejang pada masa itu hatta sehingga kini, kenapakah motorsikal ini begitu mudah dilupakan berbanding pesaingnya yang lain?

Jawapan yang mudah; Suzuki FXR 150 tidak cukup laju, sekurang-kurangnya pada zaman itu.

Yamaha TZM150 dengan kuasa maksimum 36hp.

Awal millenium merupakan zaman motorsikal 2 lejang bermaharaja lela. Kehadiran Yamaha TZM 150, motorsikal 2 lejang 150cc yang mampu menghamburkan 36 hp dan mencapai kelajuan lebih 200km/j  pada harga yang kompetitif iaitu sekitar RM9,000, lingkungan harga yang sama ditawarkan bagi FXR 150 membuatkan hanya mereka yang 'gila' sahaja akan memilih Suzuki.

Tambah memburukkan keadaan bagi Suzuki, selain daripada masalah kewangan; pengaruh jenama Yamaha begitu kuat melalui lambakan filem tempatan yang mengangkat tema 'mat rempit' di mana watak utamanya sering menggunakan motorsikal Yamaha yang lain seperti RXZ dan 125Z. Bagi anak muda yang masih setia dengan jenama Suzuki, pilihan utama mereka bagi melawan penguasaan motorsikal 2 lejang Yamaha pastilah daripada kalangan model 2 lejang Suzuki juga seperti TXR150/Jerung dan RGV120.

Dengan saingan yang begitu kuat dan jualan yang lesu, tidak sukar untuk melihat kenapa Suzuki akhirnya bertindak menghentikan produksi FXR150 sekitar tahun 2003.


LEGASI

Versi FXR150 terakhir. Tak nampak dari sudut ini Swing Arm 'banana' di sebelah kanan.

Dengan peraturan standard emisi udara yang semakin ketat membuatkan pengeluar motorsikal seperti Yamaha dan Honda memperkenalkan motorsikal sport/naked 150cc 4 lejang sekitar tahun 2008 melalui FZ150i dan CBR 150R, mungkin dirasakan amat wajar nama FXR diperkenalkan semula.

Cuba bayangkan andainya Suzuki FXR150 diperkenalkan semula pada tahun 2008, pasti mampu memberikan saingan sengit kepada kedua-dua pesaingnya ini. Dengan design yang lebih sporty, dan teknologi moden seperti meter fully digital pastinya bakal membuatkan sportbike 150cc 4 lejang Suzuki ini menjadi pilihan utama bagi mereka yang ingin menaik taraf daripada kapchai lama mereka.

CBR150R '08. Hensem tak? Hmm...

Tetapi apa yang berlaku agak menghampakan dengan Suzuki memperkenalkan moped/kapchai 150cc pula melalui Belang R150 yang mana walaupun terkenal sebagai Hyper Underbone, ia juga terkenal sebagai kapchai yang 'hodoh' dan kurang praktikal - kesilapan Suzuki yang tidak mengenal pasti cita rasa penggemar motorsikal Malaysia.

Motor macam ni nak sumbat bakul? Tak sesuai...

Walaupun melalui perkembangan media sosial membolehkan penggemar dan pemilik Suzuki FXR150 berkumpul dan bertukar fikiran lantas menarik minat peminat muda yang tidak berpeluang merasai motorsikal lagenda ini semasa zamannya dahulu, kesukaran mencari alat ganti dan kepakaran mekanik untuk melalukan proses restorasi membuatkan impian mereka terpaksa dilupakan.

Sudahnya motorsikal ini semakin dilupakan di sebalik kegilaan generasi sekarang terhadap motorsikal retro yang hanya bertumpu kepada motorsikal daripada jenama Yamaha sahaja. Dapat RXZ 'orimoto' sudah cukup RARE bagi mereka. RARE lah sangat.



Nak tahu apa yang lagi RARE?

Anda berpeluang untuk mendapatkan Suzuki FXR150 yang sudah diubahsuai pada harga yang jauh mampu milik daripada RXZ orimoto. Diiklankan oleh saudara Shazly Ahmad melalui Facebook, anda yang berminat boleh klik embedded post di bawah untuk maklumat lanjut.




Comments

  1. Caption suzuki fxr version telefonica movistar dah tak pakai swing arm banana salah info tu...semua fxr pakai swing arm banana...yg banana tu sebelah kanan je..sebelah kiri mmg standard swing arm...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih tuan atas pembetulan :)

      Delete
    2. Sama-sama..saya pun baru belajar dunia motor tuan..

      Delete
    3. Yamaha fzi generasi kedua masih lagi sistem sohc tuan.. bukan dohc..

      Delete
    4. Tajamnya mata... Tak perasan salah copy paste.. Haha

      Delete
    5. huhu...saya sangat meminati model ni....sebab itu banyak ilmu yang saya dah baca.. cuma berkongsi maklumat je tuan.. tak apa..teruskan...kipidap

      Delete
  2. rare antara yg rare..ungkapan terbaik untuk fxr150..Retromania 2018 di Pantai Morib cuma 3biji sahaja yg kelihatan.

    ReplyDelete
  3. Saya baru beli motor fxr 150 dari seorang china.. Beli2 terus masuk bengkel.. Habis lebih rm1000 utk engine sahaja..

    ReplyDelete

Post a Comment

Trending