PANDUAN RINGKAS DAN PADU - 7 JENIS ENJIN MOTORSIKAL MODEN


Bolehkah anda senaraikan jenis-jenis enjin motorsikal yang ada di pasaran sekarang? Mungkin anda hanya tahu mengenai single cylinder, parallel twin dan in-line 4 serta sedikit maklumat tentang kekurangan dan kelebihan setiap jenis enjin-enjin ini.

Bagaimana dengan selebihnya? 

Ikuti artikel kali ini untuk panduan ringkas dan padu 7 jenis motorsikal moden serta kelebihan dan kekurangan mereka.


Single

Konfigurasi enjin yang paling asas dengan hanya satu silinder menjana keseluruhan kuasa. Binaan yang ringkas membawa kepada kos pembuatan yang rendah, menjadikan enjin silinder tunggal ini pilihan popular untuk pasaran motorsikal ekonomi.

Walaupun begitu, tidak bermakna enjin ini tidak sesuai bagi mereka yang berjiwa kelajuan. Dengan daya kilas (torque) yang tinggi pada RPM rendah, membuatkan motorsikal sport/naked yang dilengkapi enjin ini begitu tangkas di bandar dan selekoh-selekoh pendek.

Biasa didapati pada:
  • Motorsikal ekonomi; skuter atau kapchai
  • Sportbike urban (biasanya naked); KTM Duke series, Honda CBR250, Kawasaki z250SL
  • Supermoto/dual purpose; Kawasaki D-Tracker X, Demak DTM200
Kelebihan:
  • Saiz yang kompak dan ramping, sesuai untuk kegunaan dalam bandar dan off-road
  • Mudah diselenggara 
  • Torque/pikap yang cukup kuat pada sesaran enjin yang sama
Kekurangan:
  • Getaran kuat, mudah dirasai jika dibawa untuk perjalanan jauh
  • Kuasa maksimum (HP) yang kurang berbanding enjin multi-silinder bersesaran sama
  • Tidak sesuai untuk sesaran tinggi (disebabkan faktor di atas)
Halwa Telinga


Parallel Twin

Enjin de-facto untuk motorsikal kelas 250cc. Memberi keseimbangan antara torque dan HP menjadikan motorsikal 250cc yang bernadikan enjin jenis ini menjadi pilihan kepada mereka yang mahukan performance terbaik tanpa perlu upgrade lesen. Atas tujuan yang sama, parallel twin menjadi pilihan bagi motorsikal bersesaran tinggi (600cc ke atas) yang dipasarkan sebagai tunggangan harian seperti Kawasaki ER6N, Versys dan Yamaha MT-07.

Biasa didapati pada:
  • Sportbike 250cc high performance; Kawasaki Ninja 250R, Yamaha R25
  • Streetbike; Yamaha MT-07, Honda CB500F
  • Dual-sport; Kawasaki Versys, BMW F800GS
Kelebihan:
  • Kompak dan ringan 
  • Responsif pada RPM rendah
  • Sesuai untuk perjalanan dalam bandar atau jauh di atas lebuh raya
Kekurangan:
  • Getaran lebih terasa jika dibandingkan sebelah menyebelah dengan in-line 4
Halwa Telinga


V-Twin

Konfigurasi enjin wajib ada pada sebuah Harley Davidson dan Ducati. Seperti parallel twin sebelum ini, V-Twin tewas dengan In-line 4 jika dibandingkan secara maksimum HP yang mampu dicapai namun mempunyai kelebihan powerband yang lebar, memberikan torque yang tinggi sejurus pendikit dipulas. Untuk motorsikal cruiser seperti Harley Davidson, torque tinggi setiap masa daripada nadi V-Twin lebih dihargai berbanding kuasa maksimum In-line 4 yang hanya dicapai apabila dikerah.

Bagi yang faham cara baca dyno-chart, boleh lihat carta di bawah untuk perbandingan kuasa Superbike, dalam kes ini merujuk kepada Ducati 1299. Boleh kita lihat, Ducati 1299 dengan enjin V-Twin mencapai redline lebih awal pada 9,900 RPM dengan hanya 175 HP, namun jika dilihat secara keseluruhan mesin ini memberikan tahap kuasa tertinggi pada setiap tahap putaran. 



Biasa didapati pada:
  • Motorsikal Ducati
  • Cruiser; Harley Davidson
  • Naza Blade / Hyosung GTR
Kelebihan:
  • Torque tinggi dan powerband yang lebar
  • Sangat responsif
  • Mempunyai profil ramping dan titik graviti yang lebih rendah
Kekurangan:
  • Getaran lebih mudah terasa
  • Kurang kuasa (HP) untuk sesaran yang sama. 
Halwa Telinga


Boxer Twin

Kebiasaannya hanya didapati pada motorsikal dual purpose BMW seperti R1200GS, enjin jenis ini memberikan torque yang begitu kuat hingga mampu menggerakan BMW R1200GS yang seberat 270kg dalam keadaan melahu (idle). Kenapa dipanggil 'boxer'? Sebab aturan silinder yang melintang mirip kepada enjin 'boxer' kereta Subaru Impreza di mana pergerakan silinder berlawanan mirip dengan gerakan tumbukan peninju.

Perhatikan powerband RS1200GS (merah) yang linear berbanding pesaing sekelasnya yang mempunyai torque dip ketara pada 3,000 ke 4,000 RPM. 



Biasa didapati pada:
  • BMW R1200GS, BMW R nine T
Kelebihan:
  • Torque yang sangat tinggi
  • Powerband yang linear memberikan power delivery yang lancar
  • Kestabilan tinggi dengan titik graviti yang rendah
Kekurangan:
  • Saiz enjin yang lebar mengehadkan sudut condong semasa mengambil selekoh
  • Torque reaction; efek seperti G-Force tetapi bertindak pada sisi disebabkan pergerakan omboh yang melintang, mengganggu kestabilan semasa mengambil selekoh
Halwa Telinga


In-line 4

Penyampaian kuasa yang lancar (smooth) dan high revving, ditambah bunyi ekzos yang merdu, motorsikal bernadi 4 silinder sebaris menjadi pujaan ramai peminat motorsikal yang gilakan kuasa di lebuh raya. Turut Menyumbang populariti konfigurasi enjin ini, ia menjadi pilihan pengeluar motorsikal dari Jepun sejak sekian lama dan seperti kita sedia maklum jenama Yamaha, Honda dan Kawasaki cukup terkenal di negara ini berbanding jenama barat seperti Triumph (bukan jenama bra ke ni?)

Biasa didapati pada:
  • Sportbike kelas pertengahan; Yamaha XJ6, Kawasaki Z800
  • Supersport Bike (Superbike); Yamaha R1, Honda CBR1000RR, BMW S1000RR
Kelebihan:
  • Penyampaian kuasa yang lancar pada RPM sederhana dan tinggi
  • High revving, mampu dikerah lebih lama sebelum mencapai redline atau anda sendiri kecut perut
  • Bunyi yang merdu
Kekurangan:
  • Perlu dikerah berikutan tenaganya hanya terdapat pada RPM tinggi
  • Lemah dari segi torque, mudah tersedu jika dibawa perlahan. Menyebabkan ia tidak sesuai diaplikasi pada motorsikal bersesaran rendah.
  • Kebanyakan motorsikalnya lebar dan berat 
Halwa Telinga


Triple

Gabungan sempurna antara kuasa torque dari parallel twin dan kuasa puncak dari high revving inline four, konfigurasi triple cyclinder menjadi kegemaran mereka yang pernah menunggangnya. Kenapa? Triple cylinder menjaminkan anda mempunyai kuasa pada setiap keadaan, sama ada di selekoh mahu pun di jalan lurus. 

Perhatikan carta dyno di bawah, untuk sesaran yang sama Triumph Speed Triple memberikan kuasa yang lebih tinggi pada setiap RPM sebelum redline awal pada 9,000 RPM, berbading motorsikal in-line 4 yang redline pada 10,000 RPM... hanya beza 1,000 RPM sahaja!



Biasa didapati pada:
  • Motorsikal Triumph; Street Triple 675RS, Daytona 675 dan Speed Triple R
  • Yamaha MT-09
Kelebihan:
  • Karakteristik seimbang antara dua dan empat silinder
  • Versatiliti, performance yang setanding untuk setiap keadaan baik selekoh mahupun jalan lurus
  • Bunyi yang cukup unik
Kekurangan:
  • Pilihan motorsikal yang terhad.
    Buat masa sekarang mudah didapati hanya dengan Yamaha MT-09 sahaja manakala Triumph kurang mendapat sambutan berikutan kos yang sedikit mahal jika dibandingkan dengan pesaingnya. Namun bagi mereka yang pentingkan kehalusan pembuatan (refinement), berbaloi bayar lebih untuk motorsikal Triumph. 
Halwa Telinga


V-4

Seperti Triple sebelum ini, V-4 menjanjikan keseimbangan antara konfigurasi dua dan empat silinder dengan torque kuat pada RPM rendah dan kuasa pada RPM tinggi. Apa yang menjadi tarikan pada V4 ialah penyampaian kuasa yang lebih linear dan lancar pada setiap tahap RPM dan profilnya yang lebih langsing memudahkan pengendalian. Walaupun begitu, pembuatan enjin yang kompleks dan memakan kos membuatkan tidak ramai pengeluar berminat untuk gunakan enjin ini selain daripada tujuan perlumbaan.

Merujuk carta di bawah, anda boleh lihat garisan untuk Aprilia RSV4R yang diwarnakan hitam terletak antara Ducati 1199 Panigale (V-Twin) dan Kawasaki ZX-10R (In-line 4) dari segi torque dan kuasa kuda tertinggi. Penyampaian kuasa RSV4R juga kelihatan linear dengan kuasa yang semakin meningkat pada setiap RPM berbanding dengan Yamaha R1 yang mengalami torque dip pada 5,000 RPM.
Biasa didapati pada:
  • Supersport atau tourer(cruiser); Aprilia RSV4RAprilia Tuono V4, Yamaha VMax
  • Motorsikal perlumbaan MotoGP; Honda RC213V, Ducati Desmosedici
Kelebihan:
  • Penyampaian kuasa yang lancar dan torque yang lebih tinggi berbanding in-line
  • Profil yang lebih ramping membantu pengendalian
  • Bunyi yang unik
Kekurangan:
  • Pilihan motorsikal yang terhad. Seperti Triple tadi, V4 memberikan kepuasan tinggi kepada pemiliknya jika mampu berbelanja lebih.
  • Konfigurasi enjin yang kompleks turut meningkatkan kos baik pulih dan modifikasi berbanding enjin in-line 4.
Halwa Telinga




Comments

  1. Untuk triple.. jangan dilupa MV Agusta, bang.

    ReplyDelete
  2. Superbike motor utk org2 tinggi besar saja ke...utk org yg comel2 tak berapa nk tinggi buleh tgk je le...hahaha....utk merealisasikan minat..fun bike pun oklah...worth trying..huhu

    Kalau ada tips utk fun bike...highly appreciate...

    ReplyDelete

Post a Comment

Trending